Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) digesa bekerjasama dengan AirAsia untuk memastikan industri penerbangan negara semakin berkembang.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes ketika menggesa perkara itu berkata isu-isu berkaitan seperti KLIA2, lokasi, kos dan penangguhan sering menjadi perbalahan yang tiada titik noktahnya.

Terdahulu, memetik laporan akhbar The Edge, Tony dipetik sebagai berkata Mavcom gagal dalam peranannya dan tidak memahami perniagaan syarikat penerbangan kos rendah (LCC).

BACA: MAVCOM gagal dalam sektor penerbangan - Fernandes

Beliau tidak berpuas hati dengan kutipan RM1 yang dikenakan ke atas semua penumpang yang terbang keluar dari lapangan terbang di Malaysia, tambahan kepada caj perkhidmatan penumpang (PSC) dan levi berlepas.

Menurutnya, ia adalah beban yang tidak perlu bagi penumpang yang secara kolektif membayar hampir RM30 juta setahun untuk menampung kos operasi pengawal selia itu.

Selain itu, beliau berharap agar penubuhan seperti Mavcom akan membantu mengurangkan ketegangan antara AirAsia dan MAHB.

Terbaharu, Mavcom telah menghapuskan caj tersembunyi seperti yuran di KLIA2, manakala yuran pemprosesan bayaran tidak boleh dicaj secara berasingan daripada tambang asas.

Pada masa sama, mereka yakin langkah itu menyumbang kepada ketelusan yang lebih tinggi, sekali gus membolehkan pengguna menikmati penjimatan wang dan membuat keputusan lebih bijak