Tutup

'Berdosa tapi buat juga' - Tun M kesal umat Islam terlibat rasuah

'Berdosa tapi buat juga' - Tun M kesal umat Islam terlibat rasuah
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan Amanat Khas kepada para penjawat awam negeri Kedah di Wisma Darul Aman hari ini. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan rasa kesal khususnya terhadap individu beragama Islam yang terlibat dalam gejala rasuah walaupun amalan itu secara jelas ditegah oleh agama.

Katanya, ramai yang menekankan tuntutan agama untuk melakukan perkara wajib serta menjauhkan perkara yang dilarang, tetapi tidak ambil berat betapa besarnya dosa akibat rasuah.
"Di sinilah kita perlu melihat semula apakah sistem nilai kita, di mana kesedaran bahawa rasuah dan salah guna kuasa itu jijik dan dibenci oleh Islam dan nilai-nilai sejagat.

"Tanpa kesedaran ini, kita akan terus melakukan rasuah dan salah guna kuasa dan turut tidak berasa hina atau memandang hina kepada mereka yang melakukannya," kata beliau ketika menyampaikan Amanat Khas kepada para penjawat awam negeri Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.
BACA: 'Saya pun kecewa dengan dia orang' - Tun M komen kenyataan Nurul Izzah

Dr Mahathir turut mengingatkan penjawat awam supaya mengikis mentaliti materialistik, suka jalan mudah dan ingin cepat kaya kerana ia boleh membawa kepada amalan rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa.

Tambah beliau, rakyat juga seharusnya mempunyai kesedaran tentang bahaya gejala rasuah terhadap keutuhan dan kemajuan sesuatu bangsa.

Katanya, selain daripada usaha, program dan peraturan untuk mengekang amalan rasuah dan salah guna kuasa, kesedaran juga merupakan perkara utama dalam mengatasi 'penyakit' tersebut.

"Sesuatu bangsa, sejarah telah menunjukkan betapa empayar-empayar Islam yang begitu gah jatuh dan musnah. Ia tidak bermula dengan perbuatan musuh-musuh Islam, sebaliknya ia bermula dengan dengan salah guna kuasa dan rasuah.

"Apabila rasuah dan salah guna kuasa berleluasa, maka kekuatan empayar-empayar ini semakin hari semakin berkurangan sehingga musuh-musuh Islam berjaya menakluk dan menjatuhkan mereka," tambahnya.



Tag: Tun M kesal umat Islam rasuah, gejala rasuah, Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri, dilarang oleh agama, penjawat awam negeri Kedah, Wisma Darul Aman, Amanat Khas



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.