Berita gembira berhubung isu yang membelenggu kemelut pembangunan Kampong Baru, bakal diumumkan pada Khamis ini, demikian diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Menurut Khalid, pihaknya telah membuat pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dan satu keputusan muktamad telah dicapai.

Jelas beliau, satu “penambahbaikan” akan diumumkan, bagaimanapun tidak memaklumkan secara terperinci berkaitan perkara tersebut.

“Secara umum, dalam pertemuan saya dengan ahli lembaga Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, saya dapati bahawa mereka begitu gembira dan yakin dengan apa yang telah dan sedang berlaku.

“Ramai menggambarkan satu sikap optimistik dan positif bahawa kali ini, InsyaAllah apa yang sedang dibentangkan dan diusahakan akan mencapai kejayaan,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan sambutan Hari Penguatkuasa ke-50 Jabatan Penguatkuasaan DBKL di Dataran Merdeka, di sini.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

BACA: Kampung Baru: 90 peratus penduduk yang serah borang setuju dengan tawaran kerajaan

Dalam perkembangan sama, Khalid ditanya adakah berita yang dimaksudkannya ada kaitan dengan kenyataan Dr Mahathir bahawa tanah di Kampong Baru bakal dijual kepada agensi kerajaan untuk dibangunkan.

Mengulas mengenai perkara itu, Khalid berkata, urusan penjualan tanah akan diserahkan kepada syarikat tujuan khas (SPV) bagi memastikan pembangunan tidak menjejaskan warisan Kampong Baru.

“SPV mengambil alih seluruh kawasan Kampong Baru bagi menubuhkan satu pembangunan yang bersepadu dan terancang.

“Sebab, kita tidak mahu Kampong Baru dibangunkan secara runcit. Kerana, kalau ia dibangunkan secara runcit, maka kita tidak akan dapat menghasilkan suasana taman warisan.

“Jadi, untuk memastikan pembangunan tersebut memenuhi apa yang kita inginkan, satu cara ialah keseluruhan kawasan tersebut dibeli oleh PSV yang kerajaan tentukan,” jelas beliau lagi.