Penganjur BERSIH 4.0 akan tetap meneruskan perhimpunan itu pada 29 dan 30 Ogos seperti dirancang, walaupun permohonan bagi mendapatkan permit ditolak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, pihaknya, menolak cadangan DBKL untuk menunda perhimpunan itu ke hujung minggu berikutnya, serta perubahan lokasi lain.

"Masa sama, hari sama tetapi kami akan berkumpul sekitar Dataran Merdeka," jawab Maria ketika ditanya Astro AWANI melalui aplikasi Whatsapp.

Beliau diminta mengulas cadangan DBKL agar perhimpunan itu diadakan seminggu selepas sambutan Hari Kebangsaan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Amin Nordin dilaporkan berkata kedua-dua lokasi yang dimohon penganjur telah ditempah lebih awal untuk acara lain.

Tambah beliau, pihaknya akan melayan peserta perhimpunan BERSIH 4.0 sebagai orang awam pada tarikh itu selepas mereka tidak mahu berganjak daripada tarikh asal untuk mengadakan perhimpunan berkenaan.

"Ini bukan bermakna kita benarkan. Kita anggap mereka ini (peserta perhimpunan) macam warga kota lain selagi mereka tidak menganggu gugat orang awam dan harta benda kerajaan, toleransi itu masih ada," kata Amin.

Walau bagaimanapun, sebelum ini, Maria dilaporkan berkata telah menghubungi DBKL dan difahamkan tiada aktiviti dijadualkan pada ketika itu.