Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos dilaporkan telah ditahan polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam sekitar jam 1.30 pagi Sabtu.

Menurut sumber, Jamal dipercayai ditahan berhubung perhimpunan Bersih 5 yang dijadualkan berlangsung di ibu negara pada Sabtu.

Buat masa ini, tiada maklumat lanjut mengenai penahanan Jamal.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu dijadualkan untuk menghadiri sidang media di Masjid Negara pada petang Jumaat.

Namun, sehingga jam 4.30 petang Jumaat, kelibat beliau tidak kelihatan langsung di situ lantas menghampakan sejumlah 100 penyokong Gerakan Baju Merah yang sudah menantikan ketibaan Jamal sejak selepas solat Jumaat.

Beberapa jam kemudian, pihak Astro AWANI dimaklumkan satu sidang media di lokasi yang sama akan berlangsung pada jam 10 malam Jumaat.

BACA: Bersih 5: Siapa yang telah ditahan setakat ini?

Ketibaan Jamal yang diuar-uarkan akan muncul untuk sidang media tersebut juga tidak sahih apabila beliau tidak hadir.

Selain Jamal, aktivis pelajar Adam Adli juga dilaporkan telah disoal siasat di Kuala Lumpur Sentral pada kira-kira 1.30 pagi, Sabtu, namun sudah dilepaskan tanpa ditahan.