Penduduk di sekitar Pengerang dinasihati supaya bertenang kerana tiada kebocoran gas dilaporkan berlaku dalam insiden letupan dan kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), awal pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, malahan letupan yang berlaku hanya melibatkan paip dan bukanlah tangki dan pihak Petronas juga telah mengesahkan bahawa bacaan kualiti udara adalah stabil.

"Ini bukan tangki yang meletup, tetapi paip, kalau tangki serius, ini bukan tangki.

"Difahamkan oleh pihak Petronas, bacaan gas memang tiada, negatif. Tiada ancaman, keadaan selamat dan kita harap orang awam faham dan tidak panik," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri Aminolhuda Hassan.

BACA: Petronas sahkan letupan, kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang

Puah berkata, kerajaan negeri akan turut membantu penduduk sekitar yang terjejas ekoran daripada gegaran letupan itu bagi menuntut sebarang kerugian daripada Petronas.

"Punca masih dalam siasatan dan akan ambil masa dua tiga hari lagi.

"Insiden ini bukan besar dan hanya kebetulan dia ada gegaran, itu sahaja dan setahu kita ada dua orang cedera ringan (dalam insiden tersebut)," katanya.

BACA: Menggeletar kaki dengar letupan, bumbung rumah pun bergegar!

Sementara itu, Aminolhuda berkata, sehingga kini hanya terdapat tiga kawasan yang terjejas ekoran insiden letupan itu iaitu Kampung Lepau dengan melibatkan enam rumah manakala dua lagi kawasan iaitu Kampung Sungai Kapal dan Taman Rengit Jaya pula masih dalam siasatan.

"Tahniah juga atas kepantasan Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) Petronas kerana berjaya mengekang dan memadam kebakaran dalam tempoh setengah jam," katanya.

BACA: Azalina lahir rasa sedih atas kejadian kebakaran di Pengerang

-- BERNAMA