Tiada sebarang tindakan akan diambil Mahkamah Tinggi berhubung penyebaran video Rakaman Prosiding Mahkamah (CRT) perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ini kerana, jelasnya lagi, laporan polis telah pun dibuat, dan siasatan masih berjalan buat masa ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, semua pihak terutama sekali pihak pendakwaraya dan peguam bela, harus akur kepada undang undang yang tidak membenarkan sebarang penyebaran CRT kepada pihak ketiga.

“Semua jenis rakaman tidak dibenarkan, bukan sahaja siaran secara langsung, tetapi termasuk juga CRT. CRT yang disediakan pihak mahkamah adalah untuk kemudahan menyalin semula isi perbicaraan, bukan untuk dimuat naik atas mana-mana platform.

BACA: Polis buka siasatan kes penularan rakaman prosiding kes Najib

BACA: Video bicara Najib tular: Serah kepada hakim ambil tindakan - Liew

“Mahkamah harap kedua-dua pihak peguam bela dan pendakwaraya, yang merupakan pegawai mahkamah, untuk patuh kepada peraturan ini. Orang awam tidak seharusnya membuat komen berunsur prejudis kerana ia boleh dianggap menghina mahkamah (contempt of court),” katanya lagi.

Beliau membuat kenyataan demikian ketika ditemui pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, selepas penularan video itu dibangkitkan pihak pendakwaraya Datuk V Sithambaram.

Terdahulu, polis telah membuka siasatan berhubung penularan satu klip video dipercayai daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) perbicaraan kes Najib yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook.

Video berdurasi dua minit 12 saat bertajuk 'Hari kelima perbicaraan Datuk Seri Najib' itu memaparkan rakaman peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyoal saksi.