Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains,Teknologi dan Alam Sekitar Negeri Perak, Dr Abdul Aziz Bari menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan berhubung rakaman audio tular yang mengaitkan dirinya.

Beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai halangan mengenai perkara itu dan menganggap ia bukan sesuatu yang perlu diberi keutamaan.

"Terserah kepada polis untuk lakukan siasatan dan sebagainya, apa kesalahan dilakukan dan siapa yang terlibat.

“Kita tunggu sahajalah kerana bagi saya tidak ada apa-apa (perlu dikhuatiri)," katanya kepada pemberita ketika meninjau situasi pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) yang mengalami gejala Influenza A H1N1 pada Jumaat.

BACA: Rakaman audio tidak jejas tumpuan saya - Ahmad Faizal

Beliau mengulas laporan polis dibuat Armada Bersatu Perak yang meminta pihak berkuasa menyiasat perbuatan individu dalam rakaman audio terbabit kerana disifatkan mengancam kestabilan kerajaan negeri.

Menurut laporan itu, sekiranya benar tindakan itu dilakukan Exco kerajaan negeri, ia merupakan tindakan tikam belakang terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan kerajaan negeri keseluruhannya.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, mana-mana pihak berhak mahu membuat laporan polis atau tidak.

"Saya sendiri pun tidak tahu apa yang dilaporkan dan kepada siapa yang dituju atau nak diambil tindakan itu.

"Kini timbul pula kononnya ada suara orang lain dalam rakaman itu, jadi yang terlibat mungkin lebih daripada seorang, isu sudah jadi lebih menarik," katanya.

Abdul Aziz berkata, beliau sendiri belum mendengar rakaman itu kerana sibuk dengan urusan yang lebih penting.