Semua pihak berkenaan harus membuat perbincangan secara tertutup sebarang isu mengenai sebidang tanah kontroversi di Kampung Datuk Keramat yang ingin dibangunkan dengan pangsapuri mampu milik dan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip).

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, sebarang pertelagahan terbuka terutama melibatkan pemimpin UMNO Wilayah Persekutuan hanya akan mengeruhkan situasi.

"Saya sebagai bekas menteri ingin menasihatkan kepada pihak yang berkenaan, sasaran 50,000 unit rumah mampu milik memang diilhamkan semasa zaman saya dahulu.

"Kementerian perlu mencapai sasaran ini. Kalau hendak mengharapkan agensi Kerajaan atau PR1MA tidak akan tercapai, UDA juga langsung tidak membina rumah mampu milik di Kuala Lumpur.

"Kerana itu DBKL perlu bekerjasama dengan pihak swasta, jadi pendekatan seperti di Kampung Datuk Keramat itu sudah betul. Pengagihan majoriti unit kepada Bumiputera juga langkah tepat yang tidak dibuat di lokasi lain.

"Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati tolonglah berbincang di belakang tabir," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Raja Nong Chik mengulas kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz pada Selasa yang menjelaskan, pembangunan sebidang tanah kontroversi di Kampung Datuk Keramat mengutamakan kediaman rumah mampu milik kepada Bumiputera.

Tegas Mhd. Amin, pecahan kepada pangsapuri harga bebas untuk baki pembangunan itu pula tetap memberi majoriti kepada Bumiputera.

Raja Nong Chik memberitahu lagi, paling penting adalah status penduduk setinggan asal di tapak berkenaan yang perlu dijamin mendapat ganti kediaman selepas dipindahkan dahulu.

"Pemaju kena pertimbangkang pemberian atau pampasan kediaman dengan harga yang berpatutan kepada penduduk asal di tapak tanah berkenaan.

"Kita kena beri keutamaan kepada penduduk asal. Isu ini perlu ditangani dengan memberi contoh baik kepada masyarakat sendiri," katanya.

Dalam pada itu kata Nong Chik, percampuran taraf dan status perumahan dalam satu kawasan sebenarnya memberi kesan positif kepada penduduk dalam jangka masa panjang.

"Apabila penduduk di kedua-dua jenis perumahan itu bergaul, ia sebenarnya menjadikan percambahan dan peningkatan taraf kepada sosiobudaya masyarakat di kawasan itu sendiri.

"Saya mengambil contoh di Australia, percampuran taraf perumahan memberi kesan baik kepada masyarakat di sana. Ia terbukti dan saya melihat model ini semasa lawatan ketika menjadi menteri dahulu," jelasnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani yang mahu DBKL melihat semula keperluan sekeping tanah di Kampung Datuk Keramat yang ingin dibangunkan kondominium mewah berbanding perumahan mampu milik yang mengutamakan kepentingan rakyat setempat.

Tegas Johari, isu itu semakin meragukan kerana kelulusan diberi kepada sebuah syarikat perumahan yang baru ditubuhkan.

Johari dalam pada itu meminta DBKL mengarahkan pemaju tanah kontroversi di Kampung Datuk Keramat untuk membina hanya rumah mampu milik di kawasan berkenaan.

Tegasnya, pembinaan rumah mencecah sehingga setengah juta ringgit dilihat tidak mampu dimiliki penduduk Bumiputera sendiri.

Sebelum ini juga, Pengerusi Penganjur Perhimpunan Aman Himpunan NGO Penduduk Keramat, Norham Shazali meminta Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan DBKL memberi alasan kukuh menolak pembinaan Rumawip di Kampung Datuk Keramat.

Norham berkata DBKL juga seolah-olah mempunyai perancangan tersendiri yang mengetepikan terus hasrat penduduk di sana yang mahu pembinaan perumahan mampu milik untuk mereka.