Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri telah memaklumkan Kerajaan Persekutuan hasrat dan keinginannya untuk mengadakan perbincangan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berdasarkan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

"Kami perlu membincangkan lebih banyak lagi mengenai MA63 dengan Persekutuan tetapi saya telah menyatakan keperluan dan perasaan saya bahawa adalah lebih sesuai perbincangan lanjut berdasarkan IGC.

"Sabah dan Sarawak sudah diiktiraf sebagai rakan kongsi setara dalam pembentukan Malaysia dan justeru bilangan anggota jawatankuasa itu mestilah sama.

"Saya berharap mereka akan memberi respons dan akan membincangkan MA63 dalam semangat setiakawan," kata beliau semasa berucap di Majlis Makan Malam Gala Persatuan Peguam Bela Sarawak Cawangan Kuching di sini malam tadi.

BACA: Sabah, Sarawak diangkat kembali jadi 'rakan sekutu' dalam Malaysia

BACA: Kepentingan Sabah, Sarawak sudah cukup terabai - Tun M


Sementara itu, Abang Johari berkata untuk persatuan itu melaksanakan kewajipan statutori dengan lebih berkesan dan sebagai badan peguam yang benar-benar bebas setara dengan Majlis Peguam sudah tiba masanya Ordinan Peguam Bela Sarawak dipinda untuk menubuhkan satu badan berkanun untuk peguam bela di Sarawak.

"Ini adalah selaras dengan kedudukan kerajaan negeri untuk menuntut hak rakyat Sarawak seperti dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962, Perjanjian Malaysia 1963 dan perlindungan perlembagaan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan menggesa Kerajaan Persekutuan untuk mendukung hak-hak itu," katanya.

--BERNAMA