Sebanyak 106 panggilan kecemasan membabitkan kes berkaitan tebuan dan lebah direkodkan di Terengganu dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, Mei merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 44 kes.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan peningkatan kes yang ketara pada Mei lalu berpunca daripada perubahan cuaca.

"Selain itu, sebanyak 19 kes direkodkan pada Januari, 11 kes pada Februari, Mac 17 kes dan April 15 kes.

"Tebuan terutama spesies tebuan tanah bukan sahaja mampu membuat sarang baharu di atas tanah namun di lokasi tinggi yang berada di luar kediaman dalam masa singkat.

"Justeru, orang awam dinasihatkan supaya meminta bantuan agensi penyelamat atau pihak yang profesional bagi memusnahkan sarang haiwan berbisa itu," katanya selepas majlis penyerahan Fire Response Vehicle (frv) di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu di sini, pada Isnin.

BACA: Kanak-kanak perempuan terkena lebih 60 sengatan tebuan meninggal dunia

Pada Ahad seorang murid Tahun Dua, Nur Nazihah Mohd Sabri, maut selepas disengat sekumpulan tebuan dalam kejadian di Felda Kerteh 4, Dungun.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1.30 pagi ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Dalam perkembangan lain, Md Hilman berkata, JBPM Terengganu memerlukan penambahan kira-kira 11 jentera bagi menampung keperluan menangani kes kecemasan di negeri itu.

Beliau berkata ketika ini, pasukannya mempunyai sebanyak 25 jentera yang digunakan secara maksimum bagi menampung kes kecemasan, namun tujuh buah mengalami kerosakan dan sedang dibaik pulih.