Keluarga kepada seorang kanak-kanak yang melecur selepas terkena tomyam panas di sebuah restoran di Balok, di sini, malam semalam akan berhubung dengan pihak peguam bagi mendapatkan nasihat guaman mengenai insiden itu.

Menurut bapa kanak-kanak berusia lima tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, pihaknya juga akan membuat laporan polis berhubung perkara itu.

"Saya perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan memandangkan apa yang menimpa Nur Qisya Darwisyah itu masih baharu.

“Kesan lecur pada badan anak saya masih berair. Saya risau jika ada sebarang jangkitan pada kesan lecur yang berlaku dan saya akan mengikut saluran yang betul dengan mendapatkan khidmat nasihat daripada peguam," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, menceritakan mengenai kejadian itu, Ahmad berkata dia bersama keluarganya ke restoran berkenaan di Balok untuk makan malam.

Jelasnya, dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, dia yang sedang berurusan di kaunter untuk menempah makanan terkejut apabila mendengar tangisan anaknya yang terkena sup tomyam yang dibawa seorang pelayan restoran berkenaan.

"Saya terus mendapatkan anak saya dan mendapati bahagian belakangnya sudah melecur.

"Kemudian saya bergegas membasuh bahagian badan yang terkena sup tomyam dan membawa anak saya menaiki kereta sebelum kenderaan ditahan oleh pengurus restoran berkenaan.

"Dia ada bertanya kepada saya tentang apa yang berlaku dan saya memaklumkan bahawa badan anak saya melecur dan terus keluar dari kawasan restoran berkenaan untuk ke hospital," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu dia menyedari pengurus restoran berkenaan telah mencampakkan sesuatu di dalam keretanya dan mengetahui bahawa bungkusan itu merupakan wang tunai RM200 selepas membawa anaknya mendapatkan rawatan.

Dia bagaimanapun cuba menghubungi semula restoran berkenaan namun tiada respon.

Sementara itu, pengurus restoran berkenaan, Mohd Zanafi Wahab, 39, berkata mereka kesal dengan kejadian yang tidak disengajakan itu dan mahu perkara berkenaan diselesaikan tanpa pertikaian serta kekeliruan seperti disebarkan di media sosial.

Katanya, pihaknya terkejut apabila kejadian itu tular di media sosial, dan mendakwa ada kenyataan tidak benar yang dibangkitkan, sekali gus memburukkan imej restoran yang sudah enam tahun beroperasi itu.

"Saya sebenarnya tidak nampak kejadian itu kerana keadaan terlalu sibuk berikutan terlalu ramai pelanggan. Saya cuma sedar apabila keluarga berkenaan bergegas hendak pulang.

"Saya tanya apa yang terjadi dan mereka mengatakan seorang daripada anak mereka terkena sup tomyam, saya cuba meminta maaf dengan menghulurkan tangan dan memberi RM200 untuk rawatan di klinik, tetapi seperti tidak diendahkan kerana mereka kelam kabut.

"Hari ini saya lihat kejadian itu ditularkan dan banyak perkara tidak betul. Ada yang kata saya campakkan duit sedangkan bukan begitu. Sebaliknya, keluarga itu yang tergesa-gesa dan mungkin kelihatan seperti saya mencampaknya," katanya.

Mengulas lanjut, dia berharap isu itu tidak dipanjangkan dan berhasrat untuk menemui keluarga kepada kanak-kanak berkenaan bagi memohon maaf secara peribadi serta meleraikan segala kekeliruan.