Polis Kelantan sudah mengenal pasti suspek utama yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh tiga beranak di Taman Bahagia, Jalan Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, semalam.

Justeru Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad memaklumkan pihaknya sedang menjejaki seorang lelaki berusia 31 tahun, bagi membantu siasatan.

Lelaki terbabit juga merupakan pekerja mangsa sejak tiga tahun lalu.

Katanya, usaha memburu suspek yang berasal dari Kampung Jubakar Darat, Tumpat sedang giat dijalankan.

“Suspek utama adalah pekerja kepada bapa, si mati dan untuk itu kita sudah kenal pasti dan kita sudah kenal pasti secara fizikal. Kita tubuhkan task force mengesan dan kita akan tangkap,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, hari ini.

Kes katanya kini disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Semalam tiga beranak dilaporkan maut, manakala seorang lagi kritikal selepas dikatakan ditikam dengan pisau dan dihentak dengan tukul serta besi di rumah di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab sekitar jam 2.30 petang.

Dalam kejadian 2.30 petang itu mereka yang maut adalah Kha Eng Ni, 42; isterinya Chua Joo Seok, 37, dan anak lelaki mereka, Kha Zee Hanz, 13.

Sementara itu, anak perempuan mangsa, Kha Xing Rhuu, 15, parah dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan mangsa keadaannya dilaporkan stabil.

Menurut beliau lagi, kes ini melibatkan hanya seorang individu dan suspek merupakan pekerja yang menghantar barangan mangsa yang mempunyai hubungan baik dengan keluarga mangsa.

Polis katanya tidak menolak kemungkinan kejadian berkaitan soal kewangan namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Suspek dikatakan berjaya melarikan diri selepas kejadian tersebut bersama kenderaan jenis pikap milik mangsa.