Bukan mudah untuk berdepan pelbagai ragam manusia di pusat pemindahan banjir.

Petugas penyelamat banjir mengakui, adakalanya hampir berputus asa, dalam proses memindahkan dan menguruskan mangsa, khususnya dalam jumlah yang ramai.

Mangsa berdegil, enggan tinggalkan kediaman antara yang sering ditemui ketika banjir.

Cabaran buat petugas adalah bagaimana kebajikan mangsa banjir perlu diutamakan, terutama melibatkan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas.

Pegawai Rela, Nor Ashikin Puteh mengakui pendekatan berhemah perlu diamalkan ketika berdepan mangsa, yang adakalanya beremosi dan trauma berdepan bencana itu.

"Kita suruh, iring dia, maklumkan untuk berada di tempat selamat, mudah untuk tindakan seterusnya. Yang demam, yang uzur, itu kami utamakan.

"Keselamatan mereka yang kita jaga ketika ini," katanya yang ditemui di sebuah pusat pemindahan di Kemaman.

Perkara sama diakui Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Mentok, Mohd Azmy Mohd Ali.

"Kita kena ada teknik untuk memujuk, pegang dia (mangsa banjir), belai dia, dan sebagainya, untuk membiarkan dia merasai tempat pemindahan ini adalah tempat yang gembira bagi dia," akuinya.

Sehingga tengah malam tadi, 1,528 orang daripada 340 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Terengganu, dengan Kemaman dan Dungun menjadi daerah paling teruk terjejas.