Remaja perempuan yang mencampakkan bayi yang baru dilahirkannya dari tingkat 13 Pangsapuri Sri Ivory, Air Itam, Pulau Pinang dijangka didakwa esok.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek berusia 18 tahun itu akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Polis sudah mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk menuduh suspek di Hospital Pulau Pinang.

"Suspek lelaki itu pula sudah dibebaskan dengan jaminan polis dan dia akan dijadikan saksi pendakwaan" katanya ketika dihubungi pada Rabu.

BACA: Pasangan kekasih ditahan kes campak bayi dari tingkat 13 pangsapuri

BACA: Campak bayi dari tingkat 13: Pasangan kekasih direman enam hari

Dalam kejadian jam 8. 25 pagi Jumaat lepas, seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan maut selepas dipercayai dicampak ibunya sendiri dari tingkat 13 Pangsapuri 25 tingkat itu.

Ibu bayi itu mengaku melahirkan bayi pada 6.30 pagi di dalam tandas rumah tanpa pengetahuan ahli keluarga dan mendakwa membuang bayinya melalui tingkap biliknya selepas panik bagi mengelak diketahui ahli keluarga.

Suspek terbabit yang juga penuntut sebuah kolej itu ditahan di rumahnya manakala teman lelakinya yang tidak bekerja dan mempunyai satu rekod jenayah lampau ditahan di Jalan Penawar, Air Itam pada jam 12 tengah hari hari sama.