Bilangan mangsa yang disyaki menghidap penyakit chikungunya di Alor Setar telah meningkat dari jumlah 14 orang kepada 21 orang.

Perkara itu dimaklumkan Pejabat Kesihatan selepas membuat pemeriksaan lanjut dan tinjauan di daerah Kota Setar bagi radius 200 meter sekitar bangunan rumah kedai berhampiran City Plaza pada Ahad.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Agama dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh, berdasarkan hasil ujian ‘rapid test’ atau ujian pantas ke atas sampel darah, kesemua 21 mangsa positif menghidapi penyakit chikungunya dan bebas dari sebarang simptom demam denggi.

Jelasnya, hasil dapatan dan kesemua sampel darah mangsa akan diserahkan kepada Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan di Sungai Buloh bagi mendapatkan pengesahan lanjut.

Tambah Ismail, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar sedang giat melakukan aktiviti pencegahan seperti semburan asap di lokasi terbabit bagi mengelakkan pertambahan jumlah mangsa.

Di samping sentiasa memantau perkembangan kesihatan mangsa mangsa yang disyaki menghidap penyakit tersebut dan mengawal pergerakan kesemua 21 mangsa agar penyakit chikungunya menular dengan lebih luas.

BACA: 14 individu disyaki hidap penyakit chikungunya di Alor Setar

"Seramai 81 orang telah ditemui di sepanjang radius 200 meter maknanya sampai ke (bangunan) Mara, sepanjang radius ni seramai 81 orang telah ditemui dan sebanyak 21 orang menunjukkan simptom seperti demam, ruam dan sakit sendi.

“Ini merupakan simptom utama dan buat masa ini kita akan menjalankan aktiviti fogging,” katanya.

Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada orang awam serta pihak media kerana cepat dalam melaporkan isu ini walaupun ia masih berada pada peringkat awal.

Jelasnya, melalui laporan yang diterima, pihaknya telah bertindak secara pantas dan cepat bagi melakukan yang terbaik untuk mengelakkan lebih ramai orang menghidapi penyakit chikungunya terutama di sekitar daerah Kota Setar.

Ismail turut menasihati penduduk sekitar lokasi agar tidak cepat panik dan bimbang memandang situasi setakat lewat petang Ahad masih dalam keadaan terkawal.

“Jangan susah hati, jangan panik dan kita akan melakukan yang terbaik. Saya rasa tindakan kita pantas, kelmarin saja kita dapat maklumat, sebelum itu tiada maklumat.

“Saya ucap tahniah pada pihak epidemiologi Pejabat Kesihatan Daerah yang bertindak dengan segera sebaik sahaja terima notis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di lokasi selepas melakukan tinjauan dan penyampaian risalah kepada peniaga dan penduduk di kawasan rumah kedai tersebut.

Pada Ahad, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengesahkan seramai 14 individu yang tinggal di deretan rumah kedai berhampiran City Plaza disyaki mengidap penyakit chikungunya selepas mengalami simptom deman, sakit sendi serta ruam sejak dua minggu lalu.