Syarikat China Communications Construction Company Ltd (CCCC) akan mengembalikan sebahagian daripada RM3.1 bilion bayaran pendahuluan kepada kerajaan susulan pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) antara CCCC dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd pada 12 April lalu, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad.

Dr Mahathir berkata CCCC bersetuju memulangkan sebahagian bayaran pendahuluan Fasa 2 Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Landasan Berkembar dan Jajaran Utara di bawah kontrak asal.

"Sejumlah RM500 juta akan dipulangkan dalam tempoh seminggu dari 12 April, 2019 dan RM500 juta lagi dalam tempoh sebulan dari sekarang membabitkan RM1 bilion," katanya ketika sidang media khas pada Isnin.

BACA: Perjanjian ECRL 50:50 MRL dan CCCC - Tun Mahathir

BACA: ECRL: Pembabitan rakyat tempatan dinaikkan kepada 40 peratus - PM

Menurut perdana menteri, bakinya akan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan selepas potongan bagi tuntutan yang disahkan susulan kerja-kerja yang terbantut, penggantungan, serta pembatalan jajaran utara.

SA itu meliputi Fasa Satu dan 2 kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian ECRL pada harga yang dikurangkan kepada RM44 bilion.


Ini merupakan pengurangan sebanyak RM21.5 bilion atau 32.8 peratus daripada kos asal sebanyak RM65.5 bilion.

Dr Mahathir menjelaskan, ECRL kini menelan belanja RM68.7 juta setiap kilometer berbanding RM95.5 juta setiap kilometer daripada perjanjian asal.