Polis yakin siasatan terhadap kes menconteng mural gergasi potret beberapa pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam, akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Polis negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihak polis sudah memperoleh beberapa petunjuk dan siasatan lanjut berkaitan beberapa perkara teknikal kini sedang dilaksanakan.

“Sebenarnya kita ada beberapa petunjuk untuk meneruskan siasatan tetapi dalam masa yang sama banyak perkara teknikal yang perlu kita selaraskan.

“Tetapi kita berharap dapat menyelesaikan kes ini secepat mungkin,” katanya.

Pada 20 Julai lepas, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial yang memaparkan dua kelibat wanita dipercayai dalang merosakkan mural berkenaan.

BACA: Dua wanita dipercayai conteng mural pemimpin negara diburu

BACA: Polis ada petunjuk suspek dikaitkan kes conteng mural

Rakaman video itu menunjukkan sebuah kereta diparkir di sebelah lorong lukisan mural terbabit sebelum kelibat dua individu itu muncul melakukan vandalisme.

Susulan perbuatan itu, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memadam semua mural dengan mengecat semula dinding itu.