Seramai 143 penumpang dari kapal persiaran mewah MS Westerdam yang memasuki Malaysia selepas berlepas dari Kemboja disahkan melepasi saringan dan tidak bergejala COVID-19.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, daripada jumlah tersebut, 137 telah meneruskan perjalanan sementara enam lagi masih menunggu penerbangan sambungan ke destinasi masing-masing.

“Kesemua 145 penumpang yang tiba telah menjalani saringan kesihatan dan dua daripada penumpang warganegara Amerika Syarikat dikesan bergejala melalu thermal scanner serta dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil ujian pengesanan COVID-19 pada 15 Februari nendapati isterinya, 83 tahun adalah positif. Pesakit mengalami gejala batuk tetapi tiada demam atau sesak nafas.

“Manakala, ujian ke atas suaminya didapati negatif COVID-19,” demikian katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini, pada Ahad.

Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abdul Rahman.

[LAPOR LANGSUNG] COVID-19 Angka kematian terus meningkat

BACA: COVID-19: Mengapa Indonesia masih tiada kes koronavirus?


Jelasnya, enam penumpang yang masih menunggu penerbangan akan menjalani ujian pengesanan COVID-19.

Katanya, sekiranya ujian tersebut menunjukkan mereka negatif, penumpang tersebut akan dibenarkan untuk meneruskan perjalanan.

“Walau bagaimanapun, sekiranya didapati positif, penumpang tersebut akan dibawa ke hospital bagi pemantauan kesihatan selanjutnya,” katanya lagi.

Pada Ahad, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan seramai 145 penumpang kapal persiaran itu mengambil penerbangan ke Malaysia pada 14 Februari.

Difahamkan, pihak Kemboja hanya menjalankan ujian saringan terhadap 20 daripada 1,200 orang yang berada di atas kapal berkenaan sebelum membenarkan kesemua mereka meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Dalam perkembangan sama, Wan Azizah memaklumkan seorang lagi mangsa yang disahkan positif COVID-19 telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang pada Sabtu.

Menurutnya, mangsa adalah kes-15 yang merupakan wanita warganegara China dan dirawat di Hospital Permai, Johor Bahru.

"Seterusnya tiada kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes COVID-19 yang masih menerima rawatan di wad adalah seramai 14 orang dan jumlah kes yang telah didiscaj adalah seramai lapan orang.

"Bagi lapan kes tersebut, mereka telah menjalani ujian pengesanan ulangan COVID-19 dan didapati negatif dua kali berturut-turut," ujarnya.