Sebuah badan kebajikan Yayasan Osimal pada Rabu tampil membantu Jabatan Kesihatan Sabah yang kini berdepan kekurangan reagen atau bahan uji bagi COVID-19.

Menurut satu kenyataan, yayasan itu berkata ia berupaya memperoleh bekalah reagen yang amat terhad dan telah diserahkan kepada jabatan kesihatan negeri bagi membolehkan ujian COVID-19 diteruskan.

"Ini (pemerolehan reagen terbabit) adalah sebagai respons kepada pendedahan yang dibuat oleh Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi semalam (Selasa) bahawa Makmal Kesihatan Kota Kinabalu tidak lagi boleh menjalankan ujian susulan kekurangan reagen COVID-19.

"Reagen itu telah diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Sabah petang ini. Yayasan Osimal kini cuba mendapatkan lebih banyak bekalan reagen daripada pembekal di luar negara," menurut kenyataan itu.

Yayasan itu juga menjangkakan memperoleh bekalan peralatan perlindungan peribadi (PPE) sebanyak 1,000 unit untuk diberikan kepada petugas barisan hadapan menjelang Sabtu ini (28 Mac) dan kumpulan kedua bekalan yang terdiri daripada 2,000 unit penutup hidung dan mulut KN.95, sejumlah 5,000 unit penutup hidung dan mulut N.95 dan 2,000 unit pakaian perlindungan perubatan.

"Yayasan Osimal juga sedang berunding secara terus tanpa melalui orang tengah atau perusahaan berasaskan keuntungan, dengan sebuah kilang di China bagi membekalkan lebih banyak PPE dan penutup hidung dan mulut N.95 serta merancang membeli alat bantuan pernafasan untuk hospital-hospital di Sabah.

BACA: COVID-19: Kerajaan bawa masuk 10 juta topeng muka dari China untuk 'barisan hadapan' - Menteri Kanan

"Dana yang digunakan untuk membeli kesemua bekalan perubatan ini disumbangkan oleh sahabat-sahabat (Yayasan Osimal) termasuk perbadanan mereka.

"Jika mana-mana organisasi atau kerajaan negeri yang bersetuju menangguh sebahagian daripada jumlah kos, ia amat dialu-alukan," menurut kenyataan itu.

Syarikat terkenal yang bermurah hati menghulurkan sumbangan kepada Yayasan Osimal dalam usaha memerangi penularan wabak COVID-19 ialah Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan Berjaya Land Bhd.

-- BERNAMA