Kementerian Kesihatan mengesahkan satu lagi kematian direkodkan lewat malam Rabu menjadikan jumlah kematian di negara ini adalah 20 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham menerusi kenyataan Facebooknya memaklumkan, satu lagi kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

"Kes kematian ke-20 ini merupakan kes ke-780, lelaki warganegara Malaysia berumur 76 tahun. Beliau telah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

"Beliau telah dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, Kelantan mulai 18 Mac 2020," jelasnya.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada 4.35 petang, 25 Mac 2020.


KKM turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa.

Terdahulu, dalam satu sidang media pada petang Rabu, Dr Noor Hisham memaklumkan empat kes kematian akibat COVID-19 dengan 172 kes positif menjadikan jumlah kumulatif di negara ini adalah 1,796 kes.

BACA: COVID-19: Empat lagi kematian, 172 kes baharu positif