Satu lagi kluster baharu yang dikenali sebagai Kluster Muda telah dikesan di Kuala Muda, Kedah pada Jumaat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata mangsa pertama kluster terbabit merupakan seorang anggota polis di daerah tersebut.

"Kes pertama kluster ini (iaitu kes ke-9114) adalah lelaki warganegara Malaysia yang merupakan seorang anggota polis," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Manakala, menurut Dr Noor Hisham lagi, kes positif kedua iaitu kes-9147 merupakan rakan sekerja kes pertama kluster itu.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyaring 124 individu yang juga merupakan kontak rapat kepada mangsa.

BACA: COVID-19: 20 kes positif dicatat, satu lagi kluster baharu dikesan

BACA: Kluster Muda dikesan, ini 5 tumpuan kenyataan media KP Kesihatan

Jelas Dr Noor Hisham, daripada jumlah individu yang disaring, lima individu didapati negatif manakala 117 individu masih menunggu keputusan.

Tambahnya, KKM sedang menjalankan pengesanan kes secara aktif dan proses nyah kuman telah dijalankan di lokasi yang dikenal pasti.

Bagaimanapun, katanya sehingga kini punca jangkitan masih dalam siasatan.