Kuantan menjadi daerah terbaharu di Pahang yang dikategorikan sebagai zon merah selepas Jerantut apabila merekodkan 43 kes positif COVID-19.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dengan penambahan itu, kawasan zon merah bertambah menjadi 24 kawasan setakat pukul 12 tengah hari, pada Khamis.

Bagaimanapun Jerantut masih tersenarai sebagai daerah tertinggi kes positif COVID-19 di Pahang dengan 61 kes. Sebanyak 169 kes keseluruhan direkodkan di Pahang setakat ini.




Pekan ketika ini masih berada di zon oren selepas merekodkan 23 kes, sementara daerah-daerah lain masih dalam kategori zon kuning dengan catatan kes antara satu dan 11 kes.

Setakat Rabu, jumlah kes positif di Malaysia meningkat kepada 4,119 kes dan 76 daripadanya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 45 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Senarai kes mengikut daerah di Pahang:

1. Jerantut - 61 kes
2. Kuantan - 43 kes
3. Pekan - 23 kes
4. Bentong - 11 kes
5. Bera - 9 kes
6. Lipis - 7 kes
7. Maran - 6 kes
8. Temerloh - 5 kes
9. Rompin - 2 kes
10. Raub - 1 kes
11.Cameron Highlands - 1 kes

Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam menafikan dakwaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah diisytiharkan di kawasan Batu 11, Kuantan, Pahang.

Dalam status Twitter itu, KKM turut meminta orang ramai supaya terus duduk di rumah serta mengamalkan penjarakan sosial selain meningkatkan penjagaan kebersihan diri.