Kementerian Kesihatan mengesahkan satu lagi kes kematian pada Selasa malam sekali gus menjadikan jumlah kematian di negara ini adalah 16 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan menerusi Facebook memaklumkan, kes kematian baharu itu telah dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

"Kes kematian ke-16 (kes ke-1334) merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 75 tahun dengan latar belakang beberapa penyakit kronik.

"Beliau telah mula menunjukkan gejala lima hari sebelum dimasukkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan pada 16 Mac 2020 dan seterusnya dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac 2020.

"Kesihatan beliau telah merosot lalu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk bantuan pernafasan dan disahkan positif COVID-19 pada 21 Mac 2020," ujarnya.



BACA: COVID-19: 106 kes baharu, jumlah kumulatif kini 1,624 kes


Mangsa disahkan meninggal dunia pada 24 Mac 2020 jam 7.40 malam. Punca jangkitan COVID-19 mangsa masih dalam siasatan.

Pada masa sama, pihak KKK turut merakamkan ucapan takziah buat ahli keluarga mangsa.

Terdahulu, kes kematian ke-15 dilaporkan pada awal Selasa melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 70 tahun.