Peniaga atau pemborong yang ingin berniaga atau masuk ke premis Pasar Borong Kuala Lumpur dikehendaki menjalani ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka juga perlu mengemukakan keputusan ujian saringan tersebut sebelum diberikan kebenaran untuk berniaga.

Dr Noor Hisham berkata langkah tersebut diambil susulan sebanyak 180 jumlah kes positif COVID-19 dikesan di luar kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

PKPD tersebut termasuk Pusat Bandar Utara dan di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.

Tambahnya, jumlah keseluruhan berkenaan termasuk peniaga dan bukan peniaga seperti ahli keluarga peniaga, pengunjung dan orang yang mempunyai kontak rapat dengan kluster tersebut.

BACA: COVID-19: Malaysia catat 1 lagi kematian, 30 kes baharu, tiada kes import

“KKM dengan bantuan agensi-agensi berkaitan telah mengenal pasti beberapa pasar harian yang berkaitan atau mempunyai peniaga yang banyak berurusan dengan PBKL.

“Pejabat Kesihatan Daerah telah dimaklumkan untuk menjalankan penilaian risiko jangkitan COVID-19 ke atas para peniaga yang telah ke pasar-pasar tersebut,” katanya dalam sidang media harian pada Selasa.

Tambahnya, Pejabat Kesihatan Daerah akan menjalankan saringan gejala ke atas para peniaga dan mengambil ujian pengesanan (rRT-PCR) kepada mereka yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan.

“Bagi mereka yang tidak bergejala dan tiada sampel diambil, mereka perlu memantau kesihatan diri dengan menggunakan Home Assessment Tool dan segera memaklumkan Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran sekiranya mempunyai gejala,” ujarnya.