Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan jaminan bahawa Perkhidmatan Kesihatan Ibu Hamil dan Anak berjalan seperti biasa.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata walaupun dalam keadaan situasi wabak, anggota kesihatan juga akan melaksanakan perkhidmatan lawatan ke rumah kepada ibu lepas bersalin bagi memastikan ibu dan anak dalam keadaan sihat.

“Bagi ibu hamil dan ibubapa yang berada di luar kawasan, bolehlah mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan kerajaan atau klinik swasta yang berdekatan.

“Justeru, ibu hamil diminta untuk menjalani pemeriksaan mengikut tarikh temu janji yang diberikan.

“Perkhidmatan imunisasi kepada bayi dan kanak-kanak juga diteruskan seperti biasa,” katanya dalam sidang media harian KKM pada Khamis.

Beliau juga meminta ibu bapa agar mematuhi jadual imunisasi dan tarikh temu janji yang telah ditetapkan.

“KKM ingin mengingatkan tentang kepentingan mematuhi jadual imunisasi kanak-kanak bagi mencegah terjadinya kejadian wabak penyakit cegahan vaksin (vaccine preventable diseases).

“Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila hubungi klinik kesihatan yang berdekatan,” tambahnya.

Setakat 12 tengah hari Khamis (26 Mac), terdapat 235 kes positif baharu dan ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 2,031 kes.

Sebanyak empat lagi kes kematian akibat COVID-19 juga dicatatkan, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 23 kes.