Universiti Sains Malaysia (USM) akan menjalankan semua kuliah secara dalam talian mulai hari ini dalam usaha membendung penularan virus COVID-19 yang telah diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Naib Canselornya, Profesor Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata semua penuntut akan dimaklumkan mengenai butiran kuliah secara dalam talian itu oleh dekan pusat pengajian masing-masing dalam masa terdekat.

"Perubahan ini pastinya akan menimbulkan banyak persoalan kepada tenaga pengajar dan pelajar. Itu merupakan antara 16 inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan untuk memastikan kesejahteraan serta keselamatan seluruh warga universiti ini dalam usaha membendung penularan COVID-19," menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata USM juga menubuhkan jawatankuasa krisis khusus untuk COVID-19 bagi merancang strategi pencegahan serta pengurusan penyakit itu, dan Pusat Sejahtera universiti tersebut telah mula mengedarkan cecair pembasmi kuman di dewan-dewan kuliah yang stoknya hanya mencukupi sehingga hujung April ini.Semua seminar, bengkel, perhimpunan dan lawatan yang telah dirancang atau akan diadakan perlu ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

BACA: COVID-19: 190 kes baharu dicatat, jumlah meningkat kepada 428

"Sekiranya terdapat pertemuan melibatkan lebih 25 orang yang tidak dapat kita elakkan sama sekali, penglibatan Pusat Sejahtera adalah penting untuk tujuan saringan suhu badan dan langkah pencegahan dapat dilakukan," katanya.

Faisal Rafiq berkata penuntut serta kakitangan USM dilarang ke luar negara bagi urusan rasmi dan pihak universiti juga menggesa agar semua perjalanan rasmi domestik dapat ditunda serta digantikan dengan kaedah alternatif iaitu perhubungan dan bekerja secara dalam talian.

Bagi perjalanan tidak rasmi atau peribadi, USM menggesa mereka yang berkenaan agar meneliti kemungkinan menunda rancangan perjalanan.

Menurut beliau, USM juga menyediakan peruntukan khas iaitu sebanyak RM350,000 bagi menangani ancaman COVID-19.

-- BERNAMA