Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menolak cadangan kerajaan Johor berhubung penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (SPBT), yang dikatakan bertujuan meningkatkan prestasi penjawat awam kerajaan tempatan.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata penubuhan suruhanjaya itu tidak memenuhi peruntukan undang-undang kerajaan Persekutuan dan negeri, malah bercanggah dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

"Cuepacs membantah cadangan untuk menubuhkan SPBT sama ada di peringkat Pusat atau negeri-negeri," katanya pada sidang media di Wisma Cuepacs, di sini hari ini.

Pada masa ini, terdapat 154 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Azih berkata penubuhan SPBT itu akan memberi kesan kepada kira-kira 5,000 kakitangan di 16 PBT di Johor, yang juga anggota Cuepacs di negeri berkenaan.

Katanya penubuhan SPBT itu tidak relevan kerana sistem perjawatan sedia ada sudah mencukupi dan tiada masalah dalam kenaikan pangkat seseorang penjawat awam.

Pada 22 Feb lepas, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Abd Latif Bandi berkata cadangan penubuhan SPBT itu sedang dalam peringkat perangkaan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia kerajaan Johor dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.

-- BERNAMA