Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyatakan bantahan terbuka terhadap tindakan Kementerian Belia dan Sukan yang mengubah nama Hari Sukan Negara kepada Malaysia Sports Challenge (MySC19), seperti mana yang diumumkan pada Rabu.

Menerusi satu kenyataan yang diedarkan kepada media, DBP bertegas ia tidak selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Akta berkenaan memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan perlu digunakan sebagai bahasa rasmi kerajaan.

Menurut DBP, jika KBS perlu mengadakan program di luar negara, bahasa Melayu masih boleh digunakan bersama bahasa Inggeris.

"Sekiranya program dan aktiviti diadakan di peringkat antarabangsa, DBP mencadangkan agar nama program dibuat secara dwibahasa iaitu mendahulukan bahasa kebangsaan dan diikuti dengan terjemahan," katanya.

BACA: Malaysia Sport Challenge 2019 ganti Hari Sukan Negara

Pada masa sama, DBP menyarankan agar pihak kementerian dan agensi kerajaan mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai identiti negara dan perpaduan dalam semua program peringkat jabatan, kebangsaan dan antarabangsa.

Timbalan Menteri Belia Dan Sukan Steven Sim Chee Keong yang mengumumkan MySC19 pada Rabu menyatakan penggunaan nama tersebut diubah kepada bahasa Inggeris kerana ia mampu meningkatkan prestij program bukan saja dalam tetapi di luar negara.

Majlis Pra-Pelancaran MySC19 akan diadakan pada 14 September 2019 dan pelancaran dijangka pada 1 Oktober ini.

Ia mensasarkan seramai 5 juta penyertaan dengan melibatkan semua golongan termasuk warga emas, belia, orang kurang upaya (OKU) dan wanita.