“Saya bukan kerja pecat orang. Melainkan sesuatu yang sangat serius berlaku, saya tidak akan pecat orang.”

Demikian kata-kata Perdana Menteri, Tun Dr Mathathir Mohamad apabila menjawab pertanyaan pemberita mengenai desakan daripada blok pembangkang supaya menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Tun Dr Mahathir berkata beliau hanya akan memecat seseorang jika sesuatu yang sangat serius berlaku.

“Kadang-kadang mereka buat kesilapan. Saya juga ingin memecat beberapa ahli parti pembangkang kerana mereka membuat banyak kesilapan.

BACA: Pembangkang desak PM nasihat Agong pecat Peguam Negara

“Tetapi kami mempunyai peraturan undang-undang (rule of law) dan kami perlu patuhinya.

“Melainkan sesuatu yang sangat serius berlaku, saya tidak akan pecat seseorang,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan di Perdan Putra pada Khamis.

Dr Mahathir turut menegaskan, beliau tidak akan memecat seseorang sewenang-wenangnya walaupun didesak.

Sebelum ini, desakan untuk memecat Thomas dibuat blok pembangkang susulan dua pertuduhan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), dibatalkan di mahkamah pada Rabu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mendakwa Thomas kerap menyalahgunakan kuasanya untuk campur tangan dalam beberapa kes mahkamah.