Usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya diluluskan Dewan Rakyat hari ini menerusi undian belah bahagian dengan 129 Ahli Parlimen bersetuju, manakala 80 yang lain menolak.

Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sejurus selesai penggulungan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Oleh kerana tidak kurang daripada setengah daripada jumlah ahli majlis ini mengundi bersetuju dengan usul nombor satu, maka usul ini disetujukan," kata Pandikar sebelum menangguhkan Dewan yang dijadual bersidang semula pada esok.

Ahmad Zahid dalam penggulungannya berkata, terdapat 14 cadangan yang diutarakan oleh 14 ahli Parlimen bagi persempadanan semula yang dilakukan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 itu.

Tegasnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memberi peluang seluasnya kepada semua penduduk untuk terlibat secara langsung dalam kajian semula persempadanan itu.

"Kita semua sedia maklum terdapat syor yang dicadangkan SPR tetapi tidak dipersetujui Kerajaan. Namun, kerajaan tidak mengganggu kerana menghormati setiap keputusan yang dibuat SPR

"Ini kerana, kerajaan akur dengan Perlembagaan Persekutuan iaitu undang-undang tertinggi di negara kita," katanya.

Ditanya mengenai laporan persempadanan semula bagi negeri Sabah, Ahmad Zahid mengakui laporan tersebut telah diserahkan pada 21 Februari lalu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Bagaimanapun, kuasa untuk membentangkan laporan akhir tertakluk kepada budi bicara Perdana Menteri selaras dengan Seksyen 9 Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan.

"Jadi, apa yang dilakukan adalah mengikut Perlembagaan," katanya menjawab soalan Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang mencelah pada sesi penggulungan.

Sebanyak 98 kawasan Parlimen akan mengalami perubahan, sama ada dari segi sempadan atau nama, berdasarkan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya yang dijalankan SPR.

Daripada jumlah tersebut, 12 kerusi Parlimen dan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara bakal mengalami perubahan nama.

Najib semasa membentangkan usul berkata, kerajaan telah mengkaji dengan teliti syor-syor dalam laporan kajian semula tersebut dan tidak mencadangkan apa-apa perubahan dibuat.

"Ini kerana kajian semula persempadanan ini telah dilaksanakan sepenuhnya berlandaskan peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.