Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) berpendapat bahawa isu cadangan Rang Undang-undang (RUU) Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) tidak seharusnya berbangkit kerana ianya akan mencemarkan Duli Raja-Raja khususnya Sultan Johor dalam sistem Raja Berpelembagaan.

Setiausaha Agung DPM Pusat, Nik Mohd Yusoff Nik Ismail berkata isu ini seharusnya tidak diilhamkan kerana ianya berada di luar wilyah peruntukan Duli Sultan Johor.

“Kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sebuah akhbar tempatan Sabtu lalu berkenaan perkara tersebut yang dipetik sebagai memerlukan rujukan kepada kerajaan pusat atau Parliemn dan Perlembagaan hanya akan menjejaskan penghormatan rakyat kepada Sultan dan Institusi Kesultanan,” katanya dalam satu kenyataan media kepada pemberita.

Beliau menambah, implikasi tersebut akan hanya membawa kepada krisis perlembagaan dan mampu diambil kesempatan oleh sesetengah pihak terutamanya orang luar.

“Oleh hal demikian, kami mengajak semua rakyat Malaysia supaya mempertahankan institusi Raja-Raja dengan meletakkan Duli-Duli Sultan secara beradab di tempatnya kerana kecuaian dan ketidakperihatinan kepimpinan politik Johor akan dipersoalkan oleh rakyat,”.

“Kami sangat kesal kerana ternyata perkara ini hanya kan menjejaskan penghormatan rakyat kepada Institusi Raja-Raja di Malaysia,”.

DPIM merasakan bahawa kepimpinan politik Johor kurang berjiwa rakyat dan tidak mahu mengambil berat kebajikan masa depan rakyat.

Selain itu juga, kepimpinan politik pusat yang mempunyai kewibawaan dan kedudukan serta kuasa pemutus digesa memperbetulkan keadaan tersebut demi kebaikan semua dan masa depan rakyat negara ini.