Dua anggota polis berpangkat koperal dan lans koperal ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Cawangan Batu Pahat petang tadi kerana dipercayai menerima sebahagian daripada rasuah bulanan.

Ini susulan daripada penahanan seorang anggota polis berpangkat lans koperal semalam, kata sumber.

Kedua-dua anggota polis berkenaan yang bertugas di Balai Polis Pagoh itu ditahan kerana telah menerima sebahagian daripada wang RM700 rasuah bulanan bagi November dan Disember 2017 dan bulan Januari 2018 yang diterima oleh suspek pertama yang ditahan semalam.

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek turut menerima wang rasuah tersebut untuk tujuan yang sama iaitu sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas majikan pengadu yang mengambil pekerja asing tanpa permit kerja (PATI) bekerja di tapak pembinaan sekitar Pekan Pagoh.

Kedua-dua suspek lelaki berusia 50 tahun dan 28 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Batu Pahat kira-kira jam 4 petang bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Terdahulu, suspek pertama yang ditangkap semalam ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 10 Februari ini kerana disyaki telah menerima wang rasuah RM700 secara bulanan daripada seorang staf kontraktor sejak November 2017 sehingga Januari 2018.

Ia adalah sebagai dorongan tidak mengambil tindakan atas kesalahan mengambil pekerja buruh asing tanpa permit bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan sekitar Pekan Pagoh.

Perintah reman itu telah dikeluarkan oleh Majistret Mohd Syafiq Mustaza di Mahkamah Majistret Batu Pahat.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi malam ini mengesahkan tangkapan tersebut namun enggan mengulas lanjut.

-- BERNAMA