Laungan "hidup kak Zu" dan "pecat pengkhianat" kedengaran di hadapan Pejabat Keadilan Negeri Perak di sini pagi ini, apabila penyokong dari dua kumpulan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhimpun bagi menunjukkan solidariti buat pemimpin masing-masing.

Lebih 200 penyokong dari 24 Cabang negeri Perak termasuk sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita terlibat dalam solidariti bersama Naib Pengerusi Presiden Keadilan, Zuraida Kamaruddin.

Manakala kumpulan yang menentang dan mendesak pula melibatkan seramai 300 penyokong dari seluruh Perak.

Menurut Ketua Cabang PKR Parit Buntar, Datuk Abdul Yunus Jamhari, perhimpunan aman itu diadakan serentak di seluruh negara bagi menggesa layanan adil diberi kepada Zuraida selaku Naib Presiden dan Menteri kanan kerajaan persekutuan.

Katanya, isu dalaman parti tidak wajar mengheret atau melibatkan rakyat, selain tidak sesuai diadakan di tempat umum dan terbuka.

"Kami menzahirkan sokongan kepada Zuraida yang telah menerima notis tunjuk sebab oleh Lembaga Disiplin baru-baru ini.

"Pengorbanan dan jasanya bersama parti sejak awal penubuhan 20 tahun lalu, dia sentiasa turun padang bersama anggota parti sejak dulu hingga kini.

"Kami menggesa agar tiada tindakan disiplin dikenakan ke atas Zuraida selaku Naib Presiden yang hanya menyatakan kebenaran dan kejujuran dalam, setiap ucapannya," katanya.

BACA: Zuraida serah surat jawapan tunjuk sebab

Lebih 200 penyokong dari 24 Cabang negeri Perak termasuk sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita terlibat dalam solidariti bersama Naib Pengerusi Presiden Keadilan, Zuraida Kamaruddin. - Foto Astro AWANI
Yunus berkata demikian kepada pemberita selepas turut menyertai himpunan menyokong dan solidariti untuk Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin di sini pada Rabu.

Yunus menambah, pengalaman dan kepakaran Zuraida dalam membantu pentadbiran Cabang, Negeri dan sayap-sayap parti dapat diguna sepenuhnya untuk memperkukuh parti.

Sementara itu, tinjauan di lokasi perhimpunan itu mendapati tiada sebarang insiden pergaduhan berlaku dan situasi himpunan itu dikawal sepenuhnya oleh anggota polis yang bertugas.

Hari ini, merupakan tarikh akhir penyerahan jawapan bertulis Zuraida kepada Lembaga Disiplin parti itu selepas menerima notis pada 14 Januari lalu.