Tutup

Dua tahun berlalu, sejauh mana kebakaran Pusat Tahfiz Ittifaqiyah jadi iktibar?

Dua tahun berlalu, sejauh mana kebakaran Pusat Tahfiz Ittifaqiyah jadi iktibar?
Seramai 21 pelajar tahfiz serta dua tenaga pengajarnya maut dalam perbuatan khianat tersebut. - Foto Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ciri keselamatan struktur bangunan asal Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang dilanda tragedi kebakaran pada 2017 yang lalu, kini telah hampir siap sepenuhnya.

Pengetuanya, Mohd Zahid Mahmood berkata pihak bomba telah mengarahkan enam perkara perlu dipatuhi bagi memastikan pusat tahfiz itu beroperasi mengikut spesifikasi keselamatan ditetapkan.
"Alhamdulillah, lima perkara telah kita sempurnakan sedikit demi sedikit dan setakat ini pun saya dalam proses untuk berjumpa dengan bomba bagi menyerahkan surat supaya mereka boleh buat pemeriksaan sama ada menepati ciri keselamatan atau tidak.

"Antara ciri keselamatan telah ada dan sedang dipasang ialah sistem gelung hos, alat pemadam api, sistem pecah kaca (Tukul), lampu dan pintu kecemasan serta tanda keluar di setiap bilik.
"Disamping itu, jeriji tingkap yang dipasang juga boleh dibuka dan kunci diletakkan di sebelah tingkap itu sahaja, semuanya kini mengikut seperti spesifikasi oleh pihak bomba," katanya ketika ditemui Astro AWANI, pada Jumaat.


Dua tahun lalu, tragedi hitam menimpa negara apabila kebakaran berlaku melibatkan bangunan sementara pusat tahfiz itu yang terletak satu kilometer dari bangunan asal.

Seramai 21 pelajar tahfiz serta dua tenaga pengajarnya maut dalam perbuatan khianat tersebut.

BACA: 'Darah masih mengalir dari jenazah anak-anak tahfiz ketika dimandikan' - Pengetua

Pasca kebakaran Mohd Zahid berkata ibu bapa kini lebih prihatin terhadap penghantaran anak ke pusat tahfiz kerana mereka menjadikan faktor keselamatan sebagai keutamaan berbanding pencapaian sekolah.

"Selain itu, kami turut memastikan tenaga pengajar di sini mempunyai insurans dan pelajar pula dilindungi insurans secara berkelompok.

"Ketika ini hanya terdapat 25 pelajar tahfiz di pusat ini, saya mahu fokus kepada melengkapkan tahap keselamatan daripada bomba terlebih dahulu sebelum menambah bilangan pelajar dan beroperasi secara normal," jelasnya.

BACA: Akibat ejek-mengejek, pusat tahfiz dibakar

GALERI FOTO: Seminggu sudah: Detik sebak tragedi kebakaran pusat tahfiz


PERKEMBANGAN MAHKAMAH

Dua remaja lelaki yang ketika kejadian berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju,  antara pukul 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Kedua-dua tertuduh yang kini berumur 18 tahun masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.


Bagaimanapun tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.


Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.



Tag: kebakaran, pelajar, Kanak-kanak, Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, remaja, penjara, anak, keselamatan, jenazah



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.