Tutup

Duga kelajuan kereta Mercedes, suami usahawan kosmetik didenda RM500

Duga kelajuan kereta Mercedes, suami usahawan kosmetik didenda RM500
Kedua-dua tertuduh menerima hukuman digantung lesen memandu selama enam bulan serta didenda RM500 atas kesalahan berkenaan. - Foto Astro AWANI
KOTA BHARU: Suami seorang pengasas produk kecantikan dan kosmetik antara dua orang lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini siang tadi kerana kesalahan menduga kelajuan kereta mewah jenis Mercedes Benz bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh menerima hukuman digantung lesen memandu selama enam bulan serta didenda RM500 atas kesalahan berkenaan.
Majistret Kamarul Hasyime Rosli menjatuhkan hukuman selepas suami pengasas kosmetik itu, Arif Md Nor, 31, dan rakannya, Ahmad Sufian Abdullah, 32, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama berada di atas jalan bagi tujuan menduga kelajuan kenderaan jenis Mercedes Benz berwarna kuning bernombor pendaftaran AKU 7471 dan F2239.
Menurut pertuduhan tersebut juga, perbuatan itu yang mana diambil perhatian tentang segala hal keadaan termasuk jenis kenderaan, saiz jalan dan kesesakan lalu lintas adalah berbahaya kepada orang awam.

Kesalahan dilakukan pada jam 2 pagi, 17 Januari lalu di Jalan Kubang Kerian menghala ke Pasir Hor berhampiran sebuah pusat servis kereta di Kubang Kerian.

BACA: Lumba haram: Pemilik kereta mewah ahli peniagaan kosmetik?

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-dua sekali.

Prosiding pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Trafik, Inspektor Siti Aisyah Abdul Manah manakala mereka diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan.

Terdahulu, mereka memohon hukuman ringan dan insaf atas kesalahan itu, bagaimanapun Siti Aisyah memohon hukuman setimpal yang dapat memberi pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.


Mereka kemudian menjelaskan denda dan dibebaskan.

Astro AWANI sebelum ini  melaporkan polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita berusia 30an susulan kes perlumbaan haram membabitkan dua kereta mewah jenis Mercedes Benz berwarna kuning di Jalan Kubang Kerian-Pasir Hor di sini.

Video perlumbaan berkenaan tular di laman sosial sehingga menimbulkan kecaman orang ramai.


Tag: mahkamah, Mahkamah Majistret, kereta, laman sosial, digantung lesen memandu, suami usahawan kosmetik, Mercerdes Benz, Kota Bharu, Kelantan, lumba haram



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.