Duta China ke Malaysia Dr Huang Huikang tidak harus mencampuri hal ehwal negara apabila membuat kenyataan selepas membuat lawatan ke Jalan Petaling baru-baru ini.

Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, kenyataan Huikang juga seolah-olah mengganggu urusan kerajaan Malaysia sekali gus di luar konteks Kedutaan China sendiri.

"Saya tidak fikir Duta China yang datang ke Jalan Petaling itu di bawah tugasnya. Duta kita di sana juga tidak pernah datang ke Beijing Road di China. Isu ini harus dijawab secara kenegaraan oleh duta berkenaan.

"Polarisasi kaum di negara ini harus dijamin. Sebagai contoh pihak baju merah juga tidak harus dilihat berada di Jalan Petaling, sama juga mereka tidak berada di Kampung Baru atau di Datuk Keramat," katanya selepas Majlis Anak Angkat Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Kampung Batu 12 Gombak di sini hari ini.

Pada Ahad, Wisma Putra dilaporkan akan memanggil Huikang berhubung kenyataannya yang dianggap sebagai campur tangan dalam isu domestik negara.

Huang akan dipanggil pada Isnin untuk memberi penerangan tentang kenyataannya ketika satu lawatan di Jalan Petaling baru-baru ini.

Huang dilaporkan berkata negara China mengecam golongan yang menggunakan keganasan dalam usaha mengganggu ketenteraman awam selain mengakui kerajaan China cintakan keamanan sesama kaum dalam hubungan antarabangsa dan tidak akan masuk campur dalam mana-mana isu domestik negara-negara lain.

Dalam perkembangan berasingan, Dr Rais menjelaskan, satu kajian akan dilakukan untuk meningkatkan taraf hidup orang asli di negara ini.

Ujarnya, orang asli harus dikeluarkan daripada paras kemiskinan sekali gus melihat peluang pekerjaan atau menambah rezeki yang menjamin kehidupan yang lebih selesa.