Empat kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) akan dipasang di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Terowong Menora dari kedua-dua arah bagi mengurangkan kadar kemalangan di kawasan terbabit.

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata pemasangan kamera AWAS di kawasan strategik itu dijangka akan dilaksanakan pada penghujung tahun ini dengan had kelajuan 70 kilometer (km) sejam.

Katanya lagi, aspek teknikal dan spesifikasi pemasangan kini berada di fasa akhir bagi menentukan kesesuaian lokasi yang strategik dengan kerjasama antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PLUS Malaysia Berhad.

"Akan datang kita akan memasang empat kamera iaitu di kedua-dua hala (utara dan selatan) Terowong Menora. Sebab, ini tempat yang agak 'panas' sedikit keadaannya, yang mana sering berlaku kemalangan yang agak memelikkan dan berat.

"Saya harap dengan pemasangan kamera itu nanti dapat menjadi elemen pencegahan untuk sebarang ketidaktentuan pemanduan di terowong yang selama ini kita lihat menjadi 'focal point' kepada orang ramai. Kita kena pantau sepenuhnya.

"Pemasangan kamera ini berasaskan kepada kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), dan kita sudah dapatkan kelulusan dari menteri bagi had kelajuannya.

"Had laju sepanjang lebuh raya biasanya 110km sejam, tetapi di situ 70km sejam," katanya kepada pemberita semasa lawatan ke Stesen Penguatkuasa Unit Penguatkuasaan Lebuhraya (UPLR) JPJ Jelapang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JPJ Perak, Severinus Tukah dan Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS Malaysia Berhad, Mohd Yusof Abd Aziz.

BACA: Tiga maut, sembilan cedera dalam kemalangan babit tujuh kenderaan di PLUS

BACA: Kemalangan tiga lori: Lebuh raya PLUS sesak lebih tujuh kilometer

BACA: Lori tangki terbabas dekat Terowong Menora, trafik sesak 7km

BACA: JPJ tingkat penguatkuasaan di Terowong Menora, Gua Tempurung

Pusat kawalan UPLR Jelapang yang mula beroperasi pada 1 Julai itu berfungsi mengawal selia segala aktiviti penguatkuasaan melibatkan empat zon, dengan kekuatan anggota seramai 82 orang.

Menurut Shaharuddin, sehingga kini terdapat 45 kamera AWAS di seluruh negara dengan 18 daripadanya dipasang di sepanjang Lebuhraya PLUS.

Foto Astro AWANI

Dalam pada itu, beliau berkata, JPJ sedang dalam rangka kerjasama bersama PLUS bagi mengkaji pelaksanaan penguatkuasaan lebih muatan melalui kaedah 'weight in motion' (WIM) di lebuh raya itu.

Sepanjang 2019, sebanyak 96 Ops Halangan dilaksanakan bersama pihak PLUS dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di beberapa lokasi sepanjang Lebuhraya PLUS melibatkan Zon Utara, Tengah dan Selatan.

Sementara itu, Mohd Yusof berkata, dari segi data, pemasangan kamera AWAS jelas menunjukkan kadar kemalangan di lokasi terbabit menurun.

"Kita memang kena ada sistem supaya sentiasa rasa diperhatikan. Orang nampak ada JPJ di sini, dan ada kamera AWAS, ada unit menguatkuasakan, jadi dengan sendirinya orang akan berdisiplin," katanya.