Enam pemancing yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Pinang selepas keluar memancing dari Jeti Nelayan Kampung Dato Keramat, Nibong Tebal ditemui selamat oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Kesemua pemancing berusia antara 30 hingga 49 tahun itu ditemui kira-kira 20 batu nautika dari Pulau Kendi kira-kira jam 4.30 petang Isnin.

Mereka ditemui susulan operasi mencari dan menyelamat membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, polis marin dan agensi penyelamat yang lain.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad, berkata melalui maklumat yang diterima, bot yang dinaiki kesemua pemancing itu mengalami kerosakan pada gearbox hingga menyebabkan mereka terperangkap di tengah lautan.

BACA: Enam pemancing dikhuatiri hilang di Pulau Pinang

Katanya, kesemua pemancing djangka akan tiba ke Jeti Batu Maung kira-kira jam 8 malam ini.

“Usaha mencari dan menyelamat yg dijalankan pihak polis telah menemui bot yang hilang lebih kurang 20 batu nautika dan hasil maklumat bot mengalami kerosakan pada enjin serta dalam proses untuk ditarik ke pengkalan Batu Maung.

“Ia bakal mengambil masa 3 jam untuk sampai ke lokasi dan keenam mangsa dalam keadaan selamat,” katanya.

Enam pemancing iaitu Mohd Rajis Jamil 35 ,Mohd Khairul Anuar Mohd Salleh, 30, Mohd Azmil Abdul Rahman,31, Mohd Faiz Ibrahim, 30, Lee Chee Sen, 49 dan Khairil Hafidzi Tajuddin, 31, dilaporkan hilang selepas keluar memancing sejak jam 8 pagi Ahad.

Kehilangan mereka menimbulkan kebimbangan ahli keluarga yang datang membuat laporan polis bagi operasi SAR.

Sementara itu, rata-rata keluarga yang berada di pusat operasi melahirkan rasa syukur dan mengalirkan air mata kegembiraan sebaik menerima berita baik mengenai penemuan ahli keluarga mereka.