Siapakah yang bakal menduduki kerusi Menteri Besar Perak ke-13 berkemungkinan diketahui esok.

Ia selepas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah perkenan supaya Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak Darul Ridzuan diadakan esok (Jumaat) jam 3 petang di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Pada Khamis, Sultan Nazrin berkenan menerima menghadap beberapa pemimpin politik Perak di Istana Kinta.

Bekas Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu antara tiga nama yang dipersembahkan bakal menjawat semula jawatan itu.

BACA: Saarani, 7 bekas exco PH dipanggil menghadap Sultan Perak

Selain itu, dua lagi nama turut dipersembahkan kepada Sultan Nazrin oleh Perikatan Nasional untuk dipertimbangkan sebagai Menteri Besar iaitu Pengerusi Perhubungan UMNO Perak yang juga ADUN Kota Tampan, Datuk Shaarani Mohamad serta Pesuruhjaya Pas Perak yang juga ADUN Semanggol, Razman Zakaria.


Ketiga-tiga pemimpin menerusi satu warkah kepada Sultan Nazrin menyatakan bahawa mereka akan menghormati apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak.

Bagi pihak pembangkang pula, mereka telah menyatakan kesediaan untuk menjadi penggerak pembangkang yang baik di Perak.

ADUN Manjoi, Datuk Asmuni Awi berkata pihaknya juga akan menghormati titah Sultan Perak yang mahu kumpulan pembangkang membantu Kerajaan PN di Perak.

Ia sekali gus memberi indikasi bahawa PN secara majoriti diberi laluan untuk menerajui pentadbiran Perak.