Seorang anggota Exco kerajaan negeri Perak menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliau membocorkan kertas minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk mendapatkan habuan daripada dua syarikat berkaitan pertanian.

Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah jahat yang dilempar terhadapnya, seperti laporan polis yang dibuat dan ditularkan hari ini.

Dakwanya, tuduhan itu dibuat untuk membunuh karier politiknya dan ia telah bermula sejak pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun lalu, kerana pendirian teguhnya bersama Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Konspirasi jahat ini kini diteruskan untuk menjatuhkan saya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan mensabotaj kepimpinan Menteri Besar Perak, khususnya menjelang istiadat pelantikan dan angkat sumpah Exco dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam ini.

Pagi ini, Ahli Majlis Daerah Kerian, Beh Yong Kean membuat laporan polis di Ipoh yang mendakwa anggota Exco terbabit membocorkan kertas minit MMKN berkenaan.

Tindakan itu didakwa bertujuan memulakan rundingan bagi mendapatkan komisen dalam menyokong permohonan tanah seluas lebih 36 hektar.

Exco berkenaan berkata, Ahli Majlis itu mempunyai motif dendam terhadapnya memandangkan beliau juga tidak menyokong kelulusan beberapa permohonan tanah yang dipohon.

BACA: Exco Perak didakwa bocor minit mesyuarat MMKN

Beliau turut mendakwa bahawa Yong Kean adalah pemilik kilang haram di Tanjung Piandang.

“Dalam hal ini, saya berpendirian tegas bersama kerajaan negeri dan beberapa agensi berkaitan yang sedang melaksanakan proses penguatkuasaan sesuai dengan syarat dan peraturan yang telah digariskan oleh kerajaan negeri,” tegasnya.

Bagaimanapun, beliau percaya ada dalang di sebalik tindakan itu bagi mencalarkan integriti dan imejnya sebagai Exco kerajaan negeri.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan membuat laporan polis berhubung tuduhan dan laporan yang dibuat terhadapnya.

“Saya juga ingin menggesa seluruh rakyat khususnya di negeri Perak untuk bersama menolak segala konspirasi jahat yang cuba mengganggu gugat pentadbiran dan meremehkan institusi kerajaan negeri melalui fitnah jahat seperti ini,” katanya lagi.