Wanita yang dikatakan menfitnah Pusat Pendidikan Darul Barakah yang diasaskan penceramah terkenal Datuk Mohammad Kazim Elias ‎berhubung isu pencabulan sehingga hari ini masih belum tampil membuat permohonan maaf seperti dikehendaki.

‎Mohammad Kazim atau lebih dikenali Ustaz Kazim telah menuntut wanita tersebut memohon maaf secara terbuka di akhbar dan laman sosial Facebook.

‎Peguam Mohd Firdaus Mahamood yang mewakili Ustaz Kazim bagaimanapun berkata wanita itu mempunyai masa sehingga Ahad ini untuk berbuat demikian atau berdepan dengan tindakan susulan.

"‎Sehingga hari ini kami tidak menerima apa-apa maklumbalas dari wanita tersebut.

"Kita telah menyerahkan surat tuntutan itu pada Isnin lalu dan individu tersebut mempunyai masa hingga Ahad ini," katanya ketika dihubungi.

BACA: Kazim Elias buat laporan polis terhadap Syed Azmi dan Wardina

BACA: Syed Azmi dedah dakwaan cabul pelajar tahfiz: 'Cium Abi sebelum tidur'

BACA: Dakwaan cabul di maahad tahfiz: Tunggu siasatan polis, kata Mahdzir

‎Ustaz Kazim turut menuntut ganti rugi RM8 juta daripada wanita itu yang merupakan ibu pelajar sekolah tahfiznya yang didakwa menfitnah berhubung isu pencabulan seks, Ogos lalu.

Tuntutan itu telah diserahkan pada 18 November dan mestilah dibuat dalam tempoh tujuh hari mulai tarikh serahan surat tersebut.

Tuntutan itu difailkan melalui firma guaman beliau, Khairul, Suhaila and Hazlina‎.

Pada Ogos lalu lalu, polis telah menerima aduan mengenai dakwaan pencabulan seksual di maahaf tahfiz itu dan mengambil keterangan 10 individu termasuk pelajar, pengadu dan sekolah terbabit.

Sebuah posting di Facebook yang dibuat oleh ibu kepada seorang pelajar di pusat pendidikan itu mendakwa berlakunya kes pencabulan seksual dan seks luar tabii di Maahad berkenaan juga telah menjadi viral di media sosial.