Pemberian makanan halal kepada penerima program Food Bank Malaysia adalah komponen penting yang akan dititikberatkan dalam pelaksanaan program berkenaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, aspek halal amat sensitif kepada masyarakat negara ini, justeru menjadi kewajipan kepada kerajaan untuk memastikan hanya makanan halal dan terbaik disumbangkan kepada masyarakat.

Saifuddin berkata, program Food Bank Malaysia akan mula dijalankan di seluruh negara bermula Januari depan dan dijangka akan memberi manfaat kepada golongan sasar iaitu mereka yang berada dalam golongan berpendapatan rendah (B40).

"Kami berharap kerajaan akan dapat adakan undang-undang untuk mengawal aktiviti dalam pemberian makanan halal kepada kumpulan penerima. Masih ada ruang untuk memberikan nilai tambah.

"Program ini akan memberi impak besar dan ianya sesuatu yang kerajaan yakin dapat membantu melegakan tekanan kos sara hidup golongan B40," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran program Food Bank Malaysia di Kompleks Masyarakat Penyayang di sini, pada Sabtu.

Guan Eng (tiga, kanan) bersama Saifuddin Nasution (dua, kanan) ketika lawatan di pusat operasi Food Bank hari ini. - BERNAMA
Terdahulu, program itu dirasmikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mewakili Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

BACA: Food Bank Malaysia mampu tangai isu kenaikan kos sara hidup - Tun M

Saifuddin turut berkata, program Food Bank Malaysia yang akan diterajui oleh kementeriannya itu, juga bertujuan mengatasi pembaziran makanan selain mengatasi isu kenaikan kos sara hidup.

Menerusi Food Bank Malaysia, lebihan makanan yang diterima akan disalurkan kepada kumpulan-kumpulan sasar dan rumah kebajikan yang berdaftar.

Program ini mensasarkan seramai 186,354 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berada di bawah Paras Garis Kemiskinan di seluruh negara untuk diagihkan lebihan makanan yang dikumpul.