Gambar beberapa individu berpakaian ala komunis yang dikaitkan dengan perhimpunan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) baru-baru ini tidak berlaku di negara ini.

Hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati gambar dengan kain rentang ‘Majlis Peringatan Ulang Tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai’ itu diambil ketika majlis terbabit berlangsung di sebuah hotel di Hatyai, Thailand, pada Isnin.

"Siasatan mendapati gambar-gambar tersebut diambil pada 2 Disember 2019 semasa majlis tersebut berlangsung di Hotel Lee Garden, Hatyai, Thailand," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed dalam satu kenyataan.

Sementara itu, beliau menjelaskan, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung penganjuran majlis sama yang diadakan di Kajang, Ahad lalu.

Siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Setakat ini, polis menerima 53 laporan polis di seluruh negara berhubung penganjuran majlis berkenaan dan pihaknya memberi jaminan siasatan telus dan adil akan dijalankan mengikut undang-undang.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan, kira-kira 300 orang telah menghadiri perjumpaan dan perhimpunan yang dipercayai melibatkan bekas ahli PKM itu di Kajang, pagi Ahad.

BACA: Trend isu komunis risaukan Muhyiddin Yassin

BACA: 'Apa sibuk-sibuk nak siasat?'

Huzir turut mengingatkan orang ramai untuk menghentikan spekulasi berhubung majlis itu kerana dikhuatiri menimbulkan suasana tegang dan tidak harmoni di negara ini.

“Penularan kenyataan atau bahan-bahan berkaitan kedua-dua majlis ini mahupun PKM, dikhuatiri akan menimbulkan suasana tegang dan mencetuskan suasana tidak harmoni di dalam negara.

"Adalah diingatkan bahawa tindakan memuat naik kenyataan atau artikel berkaitan isu ini boleh mengakibatkan satu siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dijalankan," katanya.