Tutup

Gas beracun: Kenal pasti dalang insiden Pasir Gudang - Tun Mahathir

Gas beracun: Kenal pasti dalang insiden Pasir Gudang - Tun Mahathir
475 institusi pendidikan di daerah Pasir Gudang diarah tutup serta merta sehingga 27 Jun. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengenal pasti dan mengambil tindakan keras terhadap dalang insiden gas beracun yang menyebabkan puluhan menjadi mangsa di Pasir Gudang.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, ia tidak seharusnya berlaku selepas pelbagai langkah telah diambil semasa insiden seumpama itu berlaku sebelum ini.
"Tidak sepatutnya berulang selepas apa yang berlaku sebelum ini, nampaknya ada industri yang tak peduli soal keselamatan," katanya semasa sidang media selepas menyampaikan ucaptama Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-33 bertajuk "New Malaysia in A Changing Regional Order" di sini, pada Selasa.

Pada 20 Jun lalu, 14 pelajar dan dua dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), manakala 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang (4), mengalami sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara.
Kejadian itu berlaku selepas hanya kira-kira tiga bulan selepas kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk.

Sebanyak 475 institusi pendidikan dalam kawalan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di daerah Pasir Gudang diarah tutup serta merta sehingga 27 Jun ini.


Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menegaskan, kawasan Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor yang tercemar berikutan pembuangan sisa kimia sebelum ini telah dibersihkan sepenuhnya.

Katanya, sisa berbahaya yang terkumpul telahpun dibawa ke Pusat Pelupusan Kualiti Alam untuk dihapuskan.

Bagaimanapun, ia merupakan pembetulan kenyataan Zuraida sebelum ini yang menyebut kes pelajar sekolah di Pasir Gudang mengalami sesak nafas dipercayai berpunca dari sisa bahan kimia dari Sungai Kim Kim yang tidak diurus dengan baik.





Tag: Mahathir Mohamad, Pasir Gudang, gas beracun, tindakan tegas, pencemaran



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.