Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendakwa gempa bumi dan tsunami yang berlaku di Palu, Sulawesi, bulan lalu merupakan hukuman daripada Allah akibat aktiviti Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) yang diamalkan penduduk.

Justeru, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, yang juga Ketua Pembangkang Parlimen, menzahirkan kebimbangan beliau dan kejadian sama, yang berlaku di Indonesia 29 Sept lalu, tidak berlaku di Malaysia.

“Situasi di Malaysia turut mengkhuatirkan. Di mana, kita tahu, kejadian di Palu baru-baru ini, apabila ada gempa bumi dan tsunami, dikhabarkan terdapat lebih kurang 1,000 di kalangan mereka yang terlibat dalam aktiviti berkenaan.

"Akibatnya, seluruh kawasan itu diranapkan. Ini adalah hukuman Allah," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

BACA: Gempa-Tsunami Palu: Angka kematian menghampiri 1,400

Dalam soalan tambahan beliau yang ditujukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, Ahmad Zahid bertanya usaha Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dalam menangani LGBT.

“Apakah langkah-langkah yang akan dilakukan oleh kerajaan sekarang, khususnya Jakim? Sebab, ia bukan melibatkan jabatan atau majlis agama Islam negeri-negeri sahaja, malah perlu diselaraskan di peringkat pusat, kerana ia isu besar di peringkat negara.

"Sejauh mana keberkesanannya program ini? Supaya keberkesanannya dapat mengelakkan hukuman Allah kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya, termasuk mereka yang menolak LGBT ini,” tambahnya.

BACA: Bencana Palu: Upacara ritual Balia jadi punca?

Menjawab soalan itu, Mujahid berkata, sejak 2011, sejumlah 1,450 peserta telah secara sukarela terlibat dalam program yang dianjurkan Jakim berkaitan mencegah amalan songsang LGBT.

“Antara 2012 hingga 2016, tiga orang bekas ‘mak nyah’ telah dihantar untuk menunaikan umrah.

"Respon para peserta termasuk, mereka telah mengingati semula asas agama seperti solat dan fardu ain, menginsafi tanggungjawab terhadap Allah dan membetulkan salah faham golongan agama dan masyarakat yang selama ini dianggap menghukum terhadap golongan yang melakukan kesalahan."