Tutup

Generasi muda perlu ke hadapan dalam penjagaan alam sekitar

Generasi muda perlu ke hadapan dalam penjagaan alam sekitar
Generasi muda perlu gunakan kelebihan yang mereka miliki untuk menyeru tentang kesedaran alam sekitar. - Gambar hiasan/Bernama
SHAH ALAM: Generasi muda di negara ini perlu menjadi barisan paling hadapan dalam memperjuangkan isu-isu alam dan kelestarian alam.

Ilmuan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Ir Zaini Ujang berkata generasi muda yang rata-ratanya celik internet dan media sosial perlu menggunakan kelebihan berkenaan untuk menarik lebih ramai orang menjaga alam sekitar.
"Kita ambil contoh gerakan 'plogging' menjadi 'trend' di negara-negara luar sebenarnya hanyalah aktiviti mengutip sampah sambil berjoging tetapi dengan bantuan media sosial yang ada hari ini, ia menjadi ikutan ramai dan berjaya.

"Jadi generasi muda yang cintakan alam sekitar perlu jadikan aktiviti seperti ini satu aktiviti yang 'trendy' dan popular dengan menggunakan platform media sosial untuk menggalakkan lagi masyarakat menjaga alam sekitar," katanya pada Program Bicara Minda di Kompleks Karangkraf di Seksyen 15 di sini pada Jumaat.
BACA: Peningkatan suhu bumi ancaman kepada penduduk dunia

Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2019 itu berkata, masyarakat negara ini terutamanya generasi muda juga perlu mengamalkan gaya hidup rendah karbon dalam kehidupan seharian mereka.

Tambahnya peningkatan jumlah pelepasan karbon ke atmosfera merupakan punca peningkatan suhu dunia.

"Masyarakat kita perlu terapkan gaya hidup rendah karbon antaranya seperti kerapkan penggunaan kenderaan awam atau kenderaan yang mesra alam, penggunaan peralatan elektrik yang cekap tenaga, menggunakan basikal atau berjalan kaki jika kita hendak ke lokasi yang dekat dan guna hanya 10 liter air atau masa tiga minit setiap kali mandi.

"Ini kerana jika kita ambil masa lebih lama untuk mandi, jumlah air yang digunakan akan bertambah ini menyebabkan penggunaan tenaga untuk rantaian sistem bekalan air dari air mentah kepada air bersih dan kemudian ditapis sebelum dilepaskan ke sungai menjadi bertambah dan ini menyebabkan jumlah karbon yang dilepaskan semakin meningkat," katanya.

BACA: Malaysia capai sasaran kurangkan intensiti pelepasan karbon

Malaysia mencatatkan jumlah pelepasan karbon sebanyak 7.9 tan per kapita pada 2011, berbanding 5.4 tan per kapita di negara lain yang berpendapatan sederhana dan lebih tinggi.

Kata bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu berkata penjagaan alam sekitar tidak akan berjaya jika hanya kerajaan sahaja yang berusaha untuk melindunginya.

"Perkara ini memerlukan kerjasama semua pihak, saya berpuas hati dengan komitmen kerajaan dalam hal ini tetapi saya lihat komitmen pihak lain seperti masyarakat masih rendah, tidak seperti negara-negara maju lain," katanya.

-- BERNAMA