Tutup

Guna media sosial perbetul sejarah Pulau Pinang - Ahmad Murad

Guna media sosial perbetul sejarah Pulau Pinang - Ahmad Murad
AHMAD MURAD: Sehingga masih tiada sebarang respons daripada pihak berkuasa, kementerian, kerajaan negeri atau pusat mengenai isu tersebut. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pengaruh media sosial akan digunakan untuk memperbetulkan sejarah Pulau Pinang dibuka oleh Francis Light.

Penulis buku Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang, Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, ia termasuk mewujudkan kesedaran tentang tokoh-tokoh dan peristiwa sejarah menggunakan visual atau cerita pendek yang akan dipaparkan di platform media sosial.
"Apa yang saya lihat adalah, walaupun buku teks sejarah mengatakan bahawa Pulau Pinang dibuka oleh Francis Light, hanya 2018 sahaja tetapi ia tidak begitu jelas dari segi penerokaan awal Pulau Pinang, perhubungan Francis Light dan Sultan Kedah.

"Ada juga fakta yang tidak tepat, tahun yang tidak tepat dari segi merujuk kepada penempatan masyarakat Melayu di Pulau Pinang.
"Cuma dia merujuk dari buku saya dari segi peta, dari segi cerita orang Melayu di Pulau Pinang tetapi tahun itu tidak betul," katanya ketika ditemui selepas menjadi pembicara Forum Wadah Cendekia 'Francis Light Bukan Pembuka Pulau Pinang' di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, pada Khamis.

BACA: 'Francis Light tak berhak isytihar pembukaan Pulau Pinang' - Aktivis

BACA: 
'Takdirnya Pulau Pinang bukan milik Kedah lagi' - Kay Kim

Selain Ahmad Murad, bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Ahmad Jelani Halini dan pensyarah Universiti Teknologi Petronas, Abdul Rahman Mohamaed Amin turut menjadi pembicara forum.

Buku Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang menceritakan tentang sejarah penempatan awal masyarakat Melayu Minangkabau di Batu Uban yang wujud sebelum kedatangan Francis Light.

Di dalam buku itu, Ahmad Murad menyediakan huraian lengkap menggunakan pelbagai fakta dan contoh berkaitan usaha membuktikan kepentingan perjuangan mendapatkan pengiktirafan tapak warisan kepada Batu Uban.

Beliau turut menerangkan kepentingan proses merungkai fakta sebenar kepentingan nasional sekali gus keperluan asas dalam reformasi persejarahan negara.

Dalam pada itu kata Ahmad Murad, sehingga kini beliau tidak mendapat sebarang respons daripada pihak berkuasa, kementerian, kerajaan negeri atau pusat mengenai isu tersebut.

"Kita sedang berusaha dari segi membuat kegiatan untuk mengalih kesedaran masyarakat terutamanya melibatkan tanggapan dan kesedaran popular serta apa yang perlu dilakukan ialah kita sedang memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai sejarah awal Pulau Pinang sebelum 1786.

"Kita bukan mengatakan bahawa sesiapa menjumpai Pulau Pinang, tidak. Cuma hendak kata sebelum itu Pulau Pinang sudah ada penduduk, sudah ada masyarakat, sudah ada undang-undang sebelum 1786 malah beratus tahun sebelum itu.

"Cuma dalam sejarah apa yang kita boleh kaji, terdapat kelompok masyarakat Melayu sejak tahun 1730-an lagi dengan adanya masjid, salasilah, cerita lisan, asal usul dan sebaginya," katanya.