Seorang guru besar Sekolah Kebangsaan Tamat Keramat, Jashiah Rabu, 53, yang hilang sejak 23 Oktober lalu, masih belum ditemui. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) juga masih dijalankan.

Berikut adalah perkembangan tentang kes kehilangan Jashiah yang kita ketahui setakat ini:


Bilakah beliau hilang?

Jashiah disyaki hilang di kawasan Hutan Simpan Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu, selepas keluar dari rumahnya di Taman Seri Seruling pada 23 Oktober 2015.


Di manakah kali terakhir beliau dilihat?

Difahamkan, Jashiah menghala ke kawasan hutan simpan Bukit Kutu selepas keluar daripada rumahnya dengan berjalan kaki dan menumpang kereta seseorang sejauh kira-kira 10 kilometer.

Jashiah, disedari hilang dari rumahnya pada Jumaat (23 Okt) petang ketika suaminya, Ruzilan Omar, 54, pulang ke rumah dan mendapati pintu rumahnya terbuka.

Suaminya itu kemudian membuat pada Sabtu, 24 Oktober.


Operasi mencari dan menyelamat (SAR)

Seramai 167 anggota telah ditugaskan dalam pasukan mencari dan menyelamat kini.

Mereka terdiri daripada anggota-anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Veteran Komando Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk kampung berkenaan.

Anak ketiga mangsa Mohamad Irfan Ruzilan, 20, turut menyertai operasi mencari dan menyelamat.

Operasi turut melibatkan Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM yang mendapati Jashiah pernah menjejakkan kaki di hutan Buluh Telur.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt R Supramaniam berkata anjing pengesan tersebut telah mengesan jejak Jashiah di sebuah pondok, kira-kira dua kilometer dari pusat gerakan operasi SAR.

Kawasan pencarian juga ditumpukan di beberapa kawasan seperti hutan Bukit Kutu, air terjun berhampiran Taman Milenium, pencarian dari rumah ke rumah penduduk kampung, kebun getah serta sekitar anak sungai Kampung Buluh Telur.

Sebanyak 30 bungkus bantuan makanan kecemasan (Talian Hayat) berisi biskut, gula-gula, roti, lilin dan mancis akan ditempatkan di lokasi pencarian bagi membantu Jashiah mendapat bekalan asas.


Apa kata ahli keluarga beliau?

Menurut ahli keluarganya, Jashiah dipercayai mengalami masalah kemurungan akibat kesan rawatan kimeoterapi bagi barah payu dara yang dihidapinya.

Menurut anak sulungnya, Mohamad Syahidzul Izwan Ruzilan, 23, keluarga dan rakannya turut menggunakan kaedah perubatan Islam bagi mengesan lokasi Jashiah.


Apa kata penduduk kampung?

Menurut anak ketiga mangsa, Mohamad Irfan Ruzilan, beberapa penduduk kampung memberitahu bahawa ibunya telah mengetuk pintu rumah penduduk untuk meminta makanan pada minggu lalu.

Difahamkan, Jahsiah pernah mengetuk pintu rumah pada sebelah malam dan meminta makanan.

Malangnya penduduk kampung hanya memberikan makanan tetapi tidak tahu Jashiah sebenarnya hilang dan tidak sihat.

Warga SK Taman Keramat Satu turut mengadakan solat hajat pada 30 Oktober lalu bagi mendoakan keselamatan guru besar mereka itu.