Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang baharu Hannah Yeoh Tseow Suan komited membela hak dan membawa suara golongan kanak-kanak di Parlimen.

Beliau berkata kanak-kanak hanya bergantung kepada rasional orang dewasa di bawah jagaan mereka serta tidak berupaya bersuara bagi mempertahankan diri atau mengangkat sendiri hak-hak mereka menerusi mana-mana platform.

"Menyedari keadaan ini, saya komited mengangkat dan menjadi suara mereka di Parlimen dan hak-hak mereka akan saya wakili sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Hannah, anak kelahiran Kuala Lumpur mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Istana Negara di sini hari ini bersama 13 lagi menteri dan 23 timbalan menteri.

Hannah berkata pengalaman sebagai seorang isteri dan ibu akan membantunya memahami keseluruhan peranan yang diperlukan untuk mengisi tanggungjawabnya dan mengakui porfolio tersebut paling dekat di hatinya.

"Ini kerana saya percaya yang keluarga adalah tunjang kepada sesebuah negara. Saya berdoa kehadiran saya di sini boleh memberikan sedikit perbezaan," katanya.

Sementara itu, Hannah turut berterima kasih kepada parti DAP yang telah meletakkan kepercayaan kepadanya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para pengundinya di kawasan Parlimen Segambut yang telah menjadikannya lebih bersemangat untuk menggalas amanah tersebut.

Hannah sebelum ini pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya.

-- BERNAMA